Artikel asli diterbitkan oleh UtusanBorneo.com.my. Baca DI SINI.
Penulis: Vivi Olviana Najurus
Rasa penat menaiki penerbangan dengan pesawat AirAsia lebih dua jam dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK) ke Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno Hatta hilang sebaik memasuki bilik jenis suite di Aryaduta Semanggi yang luas dengan kelengkapan mencukupi.
Aryaduta Semanggi, bangunan 57 tingkat terletak di kawasan strategik iaitu di tengah-tengah Jakarta yang menyediakan 257 suite luas dan dilengkapi peralatan serta kelengkapan moden semestinya menawarkan keselesaan seperti berada di rumah kepada pelanggan.
Kawasannya yang menarik turut menjanjikan pemandangan serta panorama yang menakjubkan sekitar bandar Jakarta selain terletak berhampiran pusat perniagaan Sudirman dan bersebelahan dengan kompleks membeli-belah Plaza Semanggi dengan pemanduan hanya 45 minit dari Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno Hatta.
Bukan setakat itu, pelanggan di Aryaduta Semanggi juga boleh menjamu selera di restoran Porta Venezia, restoran berinspirasikan Itali yang terletak di tingkat dua hotel dan menghadap kolam renang semestinya menyajikan hidangan istimewa dari menu grand ala carte pelbagai masakan termasuklah tawaran gabungan lazat piza yang dibakar dengan ketuhar kayu bersama-sama dengan hidangan asli Itali dan Indonesia lainnya.
Hotel ini juga menyediakan rangkaian pencuci mulut yang lazat dan minuman antarabangsa lengkap untuk memberikan pengalaman menjamu selera yang tidak boleh dilupakan di Bandar Jakarta.
Ciri hospitaliti yang ditukar dari konsep pangsapuri kepada hotel dengan perkhidmatan penuh pasti memenuhi keperluan tetamu yang memerlukan penginapan bagi tempoh panjang, pihak korporat, pengembara individu, program Pertemuan, Insentif, Konvensi, dan Pameran (MICE) serta pihak kedutaan.
Selepas penat berjalan di sekitar kawasan bersejarah di Jakarta, terdapat sebuah restoran yang unik dan paling lama didirikan di Jakarta.
Dapur Babah Elite dihiasai dengan ciri-ciri campuran Cina Belanda pada zaman dahulu dengan interior serta barangan antik tahun 1900-an, setiap satu barangan memiliki nilai sejarah dan cerita yang unik disebaliknya.
Restoran ini juga sangat terkenal dalam kalangan masyarakat di sini serta pengunjung luar dengan hidangan makanan Indonesia serta makanan negara lain.
Sepertimana diketahui umum, Masyarakat Indonesia sudah mengamalkan meminum jamu sejak zaman dahulu, bagaimanapun tradisi jamu tradisional semakin menurun, sehingga penjualan jamu gendong sudah jarang ditemukan.
Acaraki adalah sebuah kafe yang menyediakan pelbagai jenis minuman berkonsepkan jamu yang terkenal sebagai ubat herbal tradisional Indonesia yang diwariskan dari generasi ke generasi sebagai ramuan kesihatan.
Acaraki, berasal dari perskripsi kuno yang bertujuan untuk menghidupkan kembali signifikansi obat herbal dengan menyatukannya ke dalam kopi, teh dan matcha bagi mengekalkan budaya Indonesia.
Usaha ini juga dapat memperkenalkan minuman berkhasiat itu kepada pelancong dan mampu mengubah presepsi masyarakat bahawa jamu boleh dijadikan sebagai minuman harian dan bukannya ubat semata-mata.
Petak Enam di Chandra Glodok juga antara lokasi medan selera yang wajib dikunjungi kerana menjanjikan pelbagai sajian berkonsepkan nusantara, pengunjung juga boleh melihat dekorasi khas Tionghua, patung China dan reka bentuk bangunan tua yang memiliki rangkaian cerita bersejarah.
Satu lagi restoran yang perlu dikunjungi ketika berada di Jakarta adalah Bali Timbungan di Pusat Beli Belah Sarinah yang menyediakan kuliner khas Bali, pada masa sama restoran ini salah satu usaha untuk memperkenalkan hidangan Bali kepada masyarakat secara lebih meluas bersesuaian dengan konsep Sarinah yang kaya dengan elemen bersejarah.
Tidak hanya itu, pengunjung yang ingin merasai makanan Minangkabau boleh berkunjung ke restoran Padang di Natrabu yang terletak di Jalan Sabang.
Restoran yang sudah dibuka sejak 1958 ini menyediakan pelbagai juadah tradisional terutamanya rendang yang dimasak menggunakan resipi turun temurun menjadikannya sebagai antara rendang paling sedap di sini selain minuman istimewa yang perlu dicuba iaitu jus terung belanda.
Lebih menarik pengunjung juga boleh merakamkan kenangan dengan bergambar di pelamin minang yang dibuat di dalam restoran.
Bukan hanya di pusat bandar Jakarta, kawasan pembangunan baharu Pantai Indah Kapuk (PIK) juga mempunyai tarikan menarik iaitu restoran Pier No12 menyediakan pelbagai jenis makanan yang boleh dinikmati di tepi pantai dengan pemandangan laut yang mendamaikan.
Pengunjung bukan sahaja berpeluang merasai suasana makan di kapal dengan pelayan yang memakai pakaian ala Navy tetapi juga boleh menikmati juadah yang sedap seperti suasana persekitaran di Bali.
Apabila berkunjung di Jakarta, tidaklah lengkap percutian sekiranya tidak berkunjung ke Bandung. Kini perjalanan sudah boleh dipendekkan kepada 45 minit sahaja dengan menaiki kereta cepat Whoosh (Waktu Hemat, Operasi Optimal, dan Sistem Hebat) yang diwujudkan oleh Kereta Cepat Indonesia China (KCIC).
Woosh yang menyediakan tiga kelas ruangan ini boleh memuatkan 601 penumpang dilengkapi teknologi moden serta pramugari yang sentiasa memenuhi keperluan penumpang sepanjang perjalanan 24 sesi sehari dari kedua-dua arah.
Apabila berada di bandung, restoran Gang Nikmat antara restoran yang wajib dikunjungi kerana menyediakan menu yang ringkas tetapi sedap antaranya sidat atau unagi asap gulai, ayam gulung dan air kelapa yang sangat menyegarkan.
Satu lagi restoran di Bandung yang perlu dikunjungi ialah Restoran Madame Sari di Kartika Sari, Bandung. Makanan yang disediakan di sini bervariasi yang sesuai dinikmati untuk seisi keluarga selepas penat mendapatkan ole-ole di Bandung di dalam bangunan Kartika Sari ini.
Untuk mengunjungi Jakarta dan Bandung, penduduk di Borneo terutama Sabah tidak perlu ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kerana syarikat penerbangan tambang murah AirAsia kini menawarkan penerbangan secara terus dari Kota Kinabalu-Jakarta-Kota Kinabalu.
Rangkaian penerbangann laluan antarabangsa ini bukan hanya meningkatkan kesalinghubungan antara Indonesia dan Malaysia tetapi juga meningkatkan sektor pelancongan, budaya dan ekonomi Indonesia dan Malaysia seterusnya memperkukuh hubungan antara kedua-dua negara.
Laluan ini akan memberikan kemudahan untuk para pelancong dari Indonesia dan Malaysia mengunjungi destinasi pelancongan yang popular di kedua-dua buah negara dengan tambang lebih berpatutan melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta (CGK) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (BKI).
Baru-baru ini juga penulis bersama tiga lagi pengamal media berpangkalan di Sabah masing-masing The Star, The Borneo Post dan Daily Express bersama pempengaruh media sosial menaiki penerbangan AirAsia QZ527 menjalani program Jakarta Fam Trip (BKICGK) di Jakarta, Indonesia.
Program yang dikelolakan bersama Wonderful Indonesia dan AirAsia ini memberi peluang rombongan meneroka tempat-tempat menarik terutama tarikan bersejarah dan restoran serta penginapan terkemuka yang ada di sekitar Jakarta dan Bandung.
Pembaca juga dialu-alukan untuk tidak melepaskan peluang ini bagi meneroka keindahan serta tarikan yang ada di negara sang Garuda ini.